Sunday 3 January 2010

Mencari Motosikal Untuk Ujikaji

Petang itu, Ifan dan kawan-kawan berkumpul di kelas Tiga Anggerik. Masing-masing dengan kening yang berkerut, duduk dalam bulatan, serius memikirkan masalah baru yang melanda kumpulan mereka.

Proses mendapatkan motosikal untuk dijadikan bahan ujikaji sudah mereka lakukan sejak dua hari yang lalu, namun masih menemui jalan buntu. Perkara ini rupa-rupanya tidak semudah yang disangka..

“Jadi, bagaimana sekarang? Kita masih tidak menemui tuan motosikal yang baik hati. Fuh…” keluh Jijan dengan nafas yang panjang.

“Usah kata begitu. Tidak bermakna mereka tidak baik hati. Mereka cuma menjaga barang peribadi dengan berhati-hati. Itu hak mereka,” Ifan cuba bertindak meneutralkan keadaan. Dia menyedari tiada siapa yang sanggup menawarkan diri untuk menjadikan motosikalnya sebagai bahan ujikaji. Lagipula, motosikal bukanlah semurah barang mainan yang boleh dibeli di tepi-tepi jalan.

“Haa… Saya ada cadangan. Bagaimana kalau kita buat sekadar prototaip saja. Kita cuma ceritakan secara teori sahaja kepada juri, boleh begitu?” Jijan memberikan cadangan bernasnya.

Semua orang tersentak dan terdiam. Mereka memandang antara satu sama lain, menunggu kalau-kalau ada antara mereka yang bersetuju dengan buah fikiran Jijan itu.

“Isk. Mana boleh begitu, Jijan. Nanti mereka tidak yakin dengan kita kerana berteori sahaja tanpa amali. Walhal, kita memang boleh buktikan alat ciptaan kita benar-benar berfungsi. Rugi… Membazir segala usaha kita selama ini membangunkan Kit Transmitter,” geleng kepala Leking menjawab cadangan Jijan.

“Rugi memanglah rugi, Leking,” sepantas kilat Wiwit mencelah. Menarik nafas sebentar, kemudian menyambung lagi.

“Tapi, cuba awak fikir baik-baik. Sudah ramai yang kita cuba yakinkan tetapi tiada seorang pun yang berani meminjamkan motosikal kepada kita. Contohnya Pak Ku, pegawai keselamatan asrama. Dia sindir kita, silap haribulan Honda EX5 cabuknya itu boleh meletup.”

“Betul tu, Wiwit. Memang susah nak yakinkan mereka. Saya pula dah cuba pujuk Bang Karim, pembantu makmal kelas Kimia kita itu. Adakah patut Bang Karim minta jaminan agar motosikalnya tidak diapa-apakan? Kita bukannya agen insuran pun untuk beri jaminan,” suara Leking penuh emosi kali ini.

“Sabar… Sabar… Lebih baik kita fikirkan lagi. Hmm.. Siapa lagi yang mempunyai motosikal di sekolah ini, ya?” Ifan cuba mententeramkan gelisah rakan sekumpulannya. Kening di dahi mereka semakin berkerut tajam.

VROOOM….

Sebuah motosikal tiba-tiba berhenti betul-betul bersebelahan tempat perkumpulan mereka.

*********

“Cuba lagi… lagi sekali,” semua ahli Geng Kripton berusaha memberi sokongan moral kepada Leking.

KTIK... KTIK…

Suis penghidup motosikal beberapa kali ditekan. Tetap tiada tindak balas yang ditunjukkan oleh motosikal. Ia masih tak boleh dihidupkan.

“Awak dah pasang betul-betul klip tali keselamatan pada topi keledar itu?” Ifan mengingatkan Jijan yang sedang memakai Smart Helmet itu. Dia sangat yakin klip tali keselamatan itu memainkan peranan penting dalam sistem Smart Helmet mereka.

“Dah pasang betul. Lihat! Menyala!” jawab Jijan sambil jari telunjuknya mengunjuk pada lampu diod merah di hujung bumbung topi keledar tersebut.

Cikgu Charm kini tidak senang duduk. “Alamak. Jangan-jangan, motosikal cikgu….” Dia berjalan ke hulu, ke hilir sambil berdoa minta-minta motosikalnya tidak diapa-apakan.

“Eh… Jangan risau, cikgu. Motosikal cikgu tidak mengalami masalah sekarang ini. Percayalah pada kami, ini cuma masalah kecil saja, ” Ifan yang mula menyedari putik-putik kebimbangan Cikgu Charm, segera mententeramkannya.

“Err.. Baiklah. Saya masih menaruh kepercayaan pada kamu semua,” kata-kata Cikgu Charm sekadar menyedapkan hatinya sendiri.

KTIK... KTIK… KTIK... KTIK…

Ini sudah masuk kali yang keberapa ratus agaknya Jijan cuba menekan butang penghidup (starter) motosikal itu. Namun, motosikal masih juga gagal dihidupkan. Akhirnya mereka semua pasrah, terduduk keletihan sambil menunggu giliran seterusnya, Leking, untuk mengambil alih tugasan Jijan.

Tidak jauh dari situ, Leking masih terus tersenyum sambil duduk di atas tikar mengkuang. Dia sedang asyik menikmati air kotak yang baru dibelinya tadi.

“Amboi.. santai betul awak di situ, ya,” cemik Wiwit kerana tidak puas hati dengan lagak Leking yang seakan tidak bersungguh-sungguh.

Segera Leking habiskan minumannya dan berjalan ke arah mereka. Dia masih tetap tersenyum. Begitulah sifat semulajadi Leking yang dikenali rakan-rakannya sebagai seorang yang tidak cepat gelabah.

“Mari, saya cuba. Senang saja,” Leking mula menyarungkan kepalanya dengan topi keledar dan membelek-belek Kit Transmittor di motosikal.

“Hmm… LED merah pada topi keledar ini memang menyala. Tandanya saya sudah memakainya dengan betul bersama klip tali keselamatan. Tapi, penggera pada motosikal masih berbunyi. Maksudnya, Kit Transmitter masih menunggu isyarat impuls dari Kit Sender. Pasti ada sesuatu yang berlaku pada topi keledar ini,” tenang bersahaja Leking menyelesaikan masalah itu.

Leking cuba membuka penutup di bawah bumbung topi keledar dan menyelidik segala komponen yang terpasang pada litar Kit Sender.

Selang beberapa minit…

“Ha!! Lihat, kawan-kawan. Patutlah tak berfungsi. Mana mungkin antena sependek ini mampu menghantar impuls dengan berkesan. Biar saya gantikan antena ini dengan dawai yang lebih panjang sedikit,” akhirnya Leking menemui jalan penyelesaian.

“Macam televisyen juga. Kalau antenanya pendek, memang tak ada logika kita dapat siaran yang baik. Di rumah, datuk saya pasang antena atas pokok pinang. Maklumlah, bukan orang berada. Tak mampu nak sewa siaran satelit ASPRO yang guna piring parabola itu.. Lagipula, bla.. bla.. bla..”

Entah apa yang dibebelkan Leking seorang diri, sambil memateri dawai panjang dengan pemateri elektrik dan jalur timah. Wiwit tersenyum lucu melihat gelagat Leking. Kawan-kawannya yang lain, iaitu Jijan dan Ifan, sudah pun tertidur di atas tikar mengkuang kerana terlalu keletihan.

“Mari kita cuba,” Leking mengajak Wiwit menguji semula sistem Smart Helmet. Cikgu Charm sekadar memerhati dari tepi. Dia mahu semua anak didiknya berdikari menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi sepanjang merekacipta. Dia tahu, penemuan cara menyelesaikan masalah yang berlaku adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli.

KTIK… KTIK… KTIK…. KTIK…

Butang penghidup ditekan beberapa kali. Namun, tiada sebarang reaksi daripada motosikal.

“Baiklah. Sekarang ini adalah situasi ketika tidak mengenakan klip tali keselamatan topi keledar. Sekarang, situasi memasang klip pula,” Leking masih bercakap seorang diri. Manakala Wiwit dan Cikgu Charm pula berdiri di sebelah memerhatikan tindakan Leking.

KTIK… KTIK..

VROOOMMMM… VROM…. VROMMM..

“Yeahoooo!!!!” Cikgu Charm melompat-lompat kegirangan.